CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Tuesday, January 20, 2009

NAJIB gagal baca amaran awal kekalahan?


Ahmad Lutfi Othman

SEBELUM diisytihar menang pun, penampilan Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS, mewakili Pakatan Rakyat, sudah menempa sejarah tersendiri. Pemilihannya memang tidak dijangka. Namanya dicalonkan di peringkat awal, tetapi khabarnya beliau sendiri menarik diri, untuk memberi laluan kepada tokoh-tokoh lain, dan antara yang disebut-sebut ialah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Batu Burok yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu (1999-2004) dan Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri.

Sejarah dibentuk lagi kemudiannya apabila persepakatan erat Pakatan Rakyat terserlah bermula dari hari penamaan calon, semasa kempen hinggalah hari pembuangan undi. Rasanya inilah kali pertama pimpinan utama DAP, diketuai Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng aktif berkampung di kawasan majoriti Melayu, dan lebih menarik ia terletak di Kuala Terengganu.

"Cantiknya ia berlaku di Terengganu"

Apabila turun mengatur strategi dan berkempen bersama, tentulah "yang jauh dapat didekat, yang dekat dapat dimesrakan". Ada dakwaan mengatakan pimpinan PAS Terengganu agak tidak begitu "dekat dan mesra" bukan saja dengan pemimpinan DAP, malah KeADILan.

Sementara kemenangan dengan majoriti tidak terduga Abdul Wahid, iaitu 2,631 undi, disambut gema takbir (dan kemudiannya ratusan anak muda meraikannya di jalan-jalan sekitar bandar), Timbalan Presiden Umno, Najib Razak, yang mengemudi jentera kempen BN pasti terkedu dengan kekalahan bergandanya.

Permatang Pauh mungkin tidak memalukannya tetapi Kuala Terengganu nyata memberi tamparan hebat buat bakal Perdana Menteri, yang dijangka naik takhta Mac nanti.

Permatang Pauh dikenali sebagai kubu kuat Anwar Ibrahim sejak 1982 lagi, terletak pula di negeri Pakatan Rakyat. Sementara Kuala Terengganu milik Umno-BN, di negeri Terengganu yang mana BN menang besar dalam pilihan raya umum ke-12, menghadang ombak tsunami politik yang menghempas Pantai Barat.

Lebih perit buat BN di Kuala Terengganu

Di Permatang Pauh calon BN kekurangan 1,426 undi berbanding pilihan raya 2008 tetapi di Kuala Terengganu, "orang kuat" Abdullah Ahmad Badawi, undi Wan Ahmad Farid Wan Salleh merosot 2,320 berbanding penyandang, Allahyarham Razali Ismail.

Najib diakui bekerja keras sepanjang 11 hari berkempen, menawarkan pelbagai impian, menyogok tawaran, dan mengetuk pintu demi pintu, bagi memastikan momentum kejayaan gemilang Anwar tidak merebak ke Pantai Timur.

Kini reputasi Najib - dan BN yang bakal dipimpinnya - dipercayai tambah gelap memandangkan bagasi sejarah beliau juga begitu membebankannya. Igauan Altantunya Shaariibu masih menghantui Najib hinggakan mereka yang menampal gambar gadis Mongolia itu di Kuala Terengganu pun ditahan polis.

Umno di bawah terajunya nanti dijangka berdepan masalah dalaman lebih parah. Secara umumnya, imej peribadi calon BN, Wan Farid Salleh, yang dikatakan "sombong, tidak mesra, elitis, bersifat bangsawan" boleh menggambarkan imej Umno-BN sekarang.

Malang sekali, Najib dan juga jentera kempen BN tidak pernah berubah; mereka seolah-olah langsung tidak mengambil iktibar pengalaman pahit pilihan raya Mac 2008 yang menyaksikan lima negeri jatuh dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan.

Seperti ditegaskan sarjana politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Ghazali Mayudin, yang menghantar artikelnya kepada saya pada awal pagi 17 Januari, di waktu pusat mengundi baru dibuka: "Strategi dan tindakan BN untuk memenangi hati pengundi di KT menampakkan yang parti itu seakan terperangkap dalam penjara yang dibinanya sendiri. Setelah memenangi puluhan pilihan raya, umum atau kecil, dengan skrip yang sama semenjak merdeka, maka skrip lama ini juga yang digunakan dalam pilihan raya abad ke-21 ini." Maknanya Ghazali menulis artikel itu, yang sudah merumuskan punca kekalahan BN, sebelum pemilih berdaftar membuang undi lagi.

Ramalan sarjana politik terbukti tepat
Bukan Ghazali seorang yang begitu yakin PAS boleh menang, malah beberapa pengkaji dan sarjana politik lain sudah meramalkan begitu. Ketua Program Sains Politik UKM, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff, empat hari sebelum mengundi, memaklumkan kepada saya: "Lutfi, pegang cakap-cakap saya ini, PAS boleh menang sehingga majoriti 3,000 undi!" Seorang lagi pensyarah sains politik, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin, melalui siaran langsung TV, berdasarkan tinjauannya, juga dengan penuh yakin menjangkakan PAS bakal menang.

Semasa kempen, berdepan masyarakat Tionghua, yang dikira undi penentu, BN terus menakutkan mereka dengan isu Hudud walhal dalam pilihan raya umum lalu, khususnya di Pantai Barat, pengundi Cina dan India tanpa segan silu menyelimuti bendera PAS di tubuh mereka, sambil giat berkempen memenangkan Pakatan Rakyat. Seorang pemimpin muda MCA Cheras, melalui siaran Astro Awani menegaskan, "politik ugut dan gertak" menggunakan isu Hudud sudah tidak berkesan lagi.

Politik "pembangunan dan keselamatan" dengan gaya lama adalah konsep kuno yang tidak lagi sesuai dengan dunia siber dan langit terbuka ini. Benar seperti kata A Kadir Jasin, BN yang sudah terlalu lama berkuasa sudah begitu sukar berubah: "Mereka tetap menggunakan taktik lama yang sama. Memang ada janji untuk melakukan bedah-siasat atas kekalahan Mac 2008 tetapi apabila didapati post-mortem itu menikam pemimpin atasan, ia terus dilupakan. Jadi, tidak hairanlah jika ada ahli Umno sendiri yang mendoakan BN kalah di Kuala Terengganu."

Di pihak Pakatan Rakyat pula, diharap hubungan erat semasa kempen dapat diinstitusikan. Lima negeri Pakatan harus menyerlahkan bentuk kerjasama yang boleh memberi banyak manfaat buat rakyat.

Persefahaman mantap Pakatan

Tidak mudah berdepan ketidak-tentuan ekonomi dan cabaran lain yang lebih sengit dalam waktu terdekat, namun dengan persefahaman pimpinan Pakatan di peringkat pusat dan negeri terbabit, segala kemelut mudah dirongkai.

Lebih menarik, "Pengisytiharan Mentaloon" dikeluarkan pada 18 Mac, sehari selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu, membabitkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri Pakatan Rakyat, bertempat di kediaman Menteri Besar Kedah, di Sri Mentaloon, Alor Setar.

Impian rakyat untuk menikmati kehidupan lebih baik di bawah Pakatan begitu tinggi. Segala tawaran dalam manifesto masih ada yang belum tertunai. Masa Umno-BN sudah berlalu.

PAS terbukti dapat melalui ranjau dengan cemerlang sekali. KT bukan sahaja membuka laluan untuk menguasai kembali Terengganu, malah menunjuk jalan lurus ke Putrajaya, insya-Allah.

Dan terbukti penangguhan cetakan Harakah edisi Jumaat, Bil 1408, daripada pagi Sabtu kepada pagi Ahad, bagi menunggu keputusan pilihan raya, adalah langkah tepat! Kami tidak mahu terlewat untuk merakam satu sejarah baru dalam politik Malaysia.

0 comments: