CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Wednesday, March 5, 2008

PEMBATALAN DAKWAT KUKU

Pembatalan dakwat kuku untuk jamin mandat selesa kepada PM
http://www.harakahd aily.net/ index.php? option=com_ content&task=view&id=12960&Itemid=28

Abdul Halim Mohd Rashid Tue Mar 04, 08 6:02:09 pm MYT
KOTA BHARU, 4 Mac (Hrkh) - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat pada kuku dalam pilihan raya umum 8 Mac ini mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi amat terdesak untuk mendapat mandat yang beliau anggap selesa bagi meneruskan pemerintahan beliau yang sepatutnya sepenggal sahaja, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.
Tindakan itu, katanya, boleh dituduh mempunyai tujuan untuk membolehkan pengundi-pengundi yang ditaja oleh Barisan Nasional (BN) mengundi berikali-kali untuk memastikan kemenangan parti itu.
Tindakan itu juga sekaligus menyebabkan ramai pihak semakin yakin bahawa kad-kad pengenalan palsu telah dikeluarkan secara besar-besaran untuk membolehkan seseorang pengundi mengundi sehingga berkali-kali, katanya lagi.
Malah, kata Mahfuz, pembatalan itu mengesahkan jangkaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa pilihan raya kali ini adalah yang paling kotor dalam sejarah.
Petang ini, dalam sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid A Rahman mengumumkan bahawa SPR memutuskan penggunaan dakwat pada kuku semasa pengundian pada pilihan raya umum 8 Mac ini dibatalkan.
"Penggunaan dakwat pada kuku boleh membantu mengelakkan pengundian berkali-kali oleh seseorang pengundi yang ditaja oleh pihak yang mempunyai kuasa. Pembangkang tidak ada kuasa.
"Sebab itulah tindakan ini boleh dituduh mempunyai tujuan untuk membolehkan "hantu- hantu" tajaan Perdana Menteri dan BN, yang dibekalkan dengan kad-kad pengenalan yang dikeluarkan secara besar-besaran, mengundi berkali-kali, " katanya ketika dihubungi.
Tindakan SPR itu juga mengesahkan bahawa BN berada dalam keadaan yang sangat terdesak berikutan kebangkitan rakyat yang sudah tidak tahan lagi menanggung kesengsaraan selama empat tahun di bawah pemerintahan Abdullah.
"Bagaimana hendak menafikan bahawa BN khususnya Perdana Menteri yang mengarahkan pembatalan penggunaan dakwat kuku itu?
"Bagaimana hendak menafikan bahawa BN khususnya Perdana menteri telah mengarahkan supaya disediakan kad-kad pengenalan palsu untuk membolehkan pecacai-pecacai upahan mereka mengundi berkali-kali demi menjamin mandat kepada kepimpinan Perdana Menteri tidak dipersoalkan oleh ahli-ahli Umno sendiri selepas ini?" beliau mempersoalkan.
Beliau menyeru Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan perlantikan Abdul Rashid dan ahli-ahli SPR yang lain supaya campur tangan untuk menyelamatkan rakyat dari terus dihina dengan pembohongan- pembohongan SPR khususnya Abdul Rashid.
"Dulu kata hendak pakai dakwat pada kuku, lepas itu kata ia hanya pilihan dan sekarang membatalkan pula. Mula-mula kata mesti matikan setem pada borang pencalonan dan selepas itu kata tidak perlu pula. Suruhanjaya pembohong seperti ini memalukan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan perlantikan mereka.
"Saya menyeru Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu supaya campur tangan," katanya.
Beliau juga menyeru rakyat supaya bangkit menentang penghinaan SPR ke atas mereka.

0 comments: