Saya bukanlah seorang komputer savvy seperti pemilik "bila sauh dibongkar'. Saya mengemaskini blog ini bila ada kelapangan dan ide.
Saya kagum dengan kemampuan Ust. Zol berinteraksi di alam maya, menggunakan bahasa mudah memasarkan ide dan pandangannya yang bernas dengan hujah-hujah santai yang tepat ke sasaran.
Apapun, saya merasa bangga dan bersyukur kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat dan mereka yang jujur ikhlas berjuang untuk jemaah, berjuang untuk parti.
Benar, kata Ustaz Zol, saya tidak keluar satu sen pun dan dia juga tidak keluar satu sen pun. Tidak ada sesiapa melobi dan tidak ada sesiapa yang akan mendapat projek pun. Inilah kelebihan PAS, bebas dari gejala yang membarah didalam parti-parti lain.
Saya akan memberikan sumbangan dan bakti terbaik saya demi perjuangan Islam dan bantulah saya dalam menjayakan cita-cita ini, cita-cita kita bersama.
MAT
Kanchut, Alor Setar
Dedikasi Buat Kekanda Anuar Tahir
PRU ke 12 menyaksikan BN kekal di parlimen Padang Besar tetapi dengan penurunan majortiti yang agak ketara berbanding PRU ke 11 iaitu 5,348 (2008) berbanding 9,265 (2004). Kerusi itu memang asalnya milik BN, Azmi Khalid (baca sini) dan (sini).
PRU ke 12 menyaksikan BN kekal di parlimen Padang Besar tetapi dengan penurunan majortiti yang agak ketara berbanding PRU ke 11 iaitu 5,348 (2008) berbanding 9,265 (2004). Kerusi itu memang asalnya milik BN, Azmi Khalid (baca sini) dan (sini).
Dari satu sudut, BN memang berpotensi untuk kalah di Parlimen Padang Besar. Sepanjang tempoh kempen, respon pengundi bukan Melayu juga sangat positif. Cuma pengundi Melayu ketika itu, dengan sumber maklumat segar yang agak terhad, kebanyakannya masih setia dengan ‘yang lama’. Mereka bimbang tiang eletrik di kampong mereka dicabut, atau besi paip air di potong sekiranya mengundi selain BN.
Kelmarin (18 April) Mesyuarat Agung PAS kawasan Padang Besar berlangsung di markas PAS kawasan di Santan. Markas berstruktur kayu dan uzur itu menjadi sungutan perwakilan, panas dan sempit. Namun mesyuarat tetap berlangsung dengan lancar, perbahasannya juga panas, sepanas dewan tanpa pendingin hawa, walau pun pada sebelah petangnya separuh perwakilan angkat kaki.
Jawatan Yang DiPertua dipertandingkan. Saya dan seorang lagi rakan ditewaskan oleh Anuar Tahir, AJK PAS Pusat yang juga koordinator Bersih. Dia juga bekas Setiausaha Agung ABIM pada zaman Anwar dulu dan bekas Pengerusi PKR Perlis. Kami bertanding dalam suasana santai namun serius sebab tiada sebarang kempen atau lobi-melobi. Saya tidak habis satu sen pun untuk itu, begitu juga Anuar.
Perwakilan diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih sesiapa yang mereka fikir layak. Kalau ada orang yang beriman dengan demokrasi ingin menilai iman kami terhadap demokrasi, kami termasuk orang yang kuat beriman dengan demokrasi. Demokrasi kami bersih, bukan seperti demokrasi Umno yang bersalut lumpur rasuah itu.
Saya mengambil kesempatan ini mengalungkan tahniah untuk kekanda saya Anuar Tahir. Dia memang layak menang. Bagi saya dia seorang yang berwibawa dan berpengalaman luas. Saya yakin pengalamannya itu sangat bermakna untuk PAS Kawasan Padang Besar melonjak ke hadapan dengan lonjakan kemenangan bukan lonjakan popular di daerah sendiri.
Kita perlu keluar daripada program yang bersifat syok sendiri yang diramaikan oleh ahli dan pengikut kita sahaja. Golongan profesional, pertengahan, para usahawan dan tokoh-tokoh masyarakat yang selama ini hanya melihat PAS dari jauh perlu didekati. Kita memang berjaya dalam menyantuni golongan marhaen tetapi kita masih malu-malu mata untuk berdamping dengan golongan berpengaruh dan berkedudukan.
Kita memerlukan pendekatan ‘politik segar’, pendekatan yang bersifat merentasi apa jua sekatan termasuk sekatan agama dan budaya, apatah lagi sekatan perbezaan fahaman politik. Sementara kita bertegas dengan dasar dan prinsip, kita perlu meneroka dengan lebih bersungguh-sungguh ruang-ruang ‘kosong’ (Mantiqah al-Afwi) yang dihuni oleh sekian banyak kelompok masyarakat. Pencinta seni, peminat sukan malah mereka yang kita pandang dengan sebelah mata kerana kita berasa mereka ‘tergelincir’ dari landasan agama juga tidak wajar dikesampingkan. Inilah maksud saya ‘politik segar’ itu.
Saya sangat gembira dan yakin, Anuar bersama gandingan rapatnya Wan Kharizal Wan Khazim, Timbalan YDP akan mampu memacu PAS Kawasan Padang Besar bukan sekadar untuk mencapai kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi lebih penting daripada itu memegang tangan masyarakat di Kawasan Padang Besar menghayati kehidupan berpaksikan agama. Bagi saya kejayaan ini lebih besar berbanding kejayaan di dalam pilihanraya.
Tapi, saya lebih gembira kalau anda berdua dapat menarik Azmi Khalid dan isterinya Normala Shamsudin masuk PAS.
0 comments:
Post a Comment